Thursday, March 13, 2008

Allahu Hual Ghayah

Matlamat Kami (Ghayatuna)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Setelah lebih sebulan tidak menulis sebarang entri, akhirnya tangan ini berasa gatal-gatal untuk menulis sedikit entri sebagai pembuka blog yang serba baru ini. Allahu Hual Ghayah...apakah maksudnya? Betulkan saya sekiranya tersilap, mengikut tafsiran saya, maksudnya adalah "Allah, Dialah Matlamat". Saya dedikasikan entri ini kepada mereka yang sedang menghadapi masalah.

Dalam kehidupan harian, perkataan 'susah' tidak boleh dipisahkan dari kamus hidup seseorang, lebih-lebih lagi apabila berkerja. Begitulah yang situasi yang sedang dihadapi oleh segenap manusia. Oleh kerana saya sebenarnya agak gagap ketika berkata-kata, jadi saya ingin menyampaikan hasil tinta ini kepada mereka.

Baiklah, di sini saya akan menulis tentang kesusahan yang sering menimpa kini iaitu tidak lain dan tidak bukan kegawatan ekonomi. Di sini saya ingin kongsi bersama sepotong hadis yang mafhumnya adalah : Dua perkara yang anak adam sering risau tentangnya tetapi sebenarnya ia sudah ditetapkan dalam Luh Mahfuz. (Yang pertama saya telah lupa, maaf) Kedua : Rezeki. Jadi sebenarnya kita tidak sepatutnya terlalu risau tentang rezeki kita kerana ianya telah ditetapkan oleh Yang Maha Pemberi Rezeki.

Tidak saya katakan yang anda boleh malas-malas dalam melakukan kerja, tidak. Tetapi tidak perlulah kita meletakkan ia sebagai prioriti (kepentingan) utama dalam hidup atau agenda utama tetapi Allah S.W.T adalah prioriti utama. Bagaimana meletakkan Allah sebagai prioriti utama? Terpulang kepada pemikiran anda asalkan ianya berlandaskan syari'at Islam. Allah sebagai matlamat mempunyai skop yang luas. Contohnya : Meletakkan Allah dihadapan apabila kita berkerja : Membuat yang terbaik untuk mendapat redha Allah ia boleh dikategorikan sebagai Ihsan, Menunikan solat malam untuk mendapatkan ketenangan dan tidak ketinggalan juga melakukan amalan sunat seperti duha, puasa sunat dan bermacam-macam lagi yang anda boleh fikirkan sendiri. Ingatlah, ia semua bermula dengan niat.

Semua perkara yang dilakukan hanya kerana Allah semata-mata akan mendekatkan diri kita kepada Allah. Dengan itu, Allah akan menunjukkan jalan keluar. Jalan keluar tidak semestinya dari rezeki yang banyak sahaja, tetapi mungkin dari sudut yang lain yang tidak kita ketahui.

...dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. (at-Talaq : 2-3)

Akhir sekali, ingatlah bahawa rezeki bukanlah prioriti/matlamat utama kehidupan ini tetapi Allah itulah prioriti/matlamat. Sekian dari saya, minta tolong komen sekiranya ada sebarang kesilapan.

Wassalam