Monday, August 29, 2011

Update


Salam,
apa khabar? 10 hari terakhir Ramadhan tahun ini banyak perkara menarik yang saya alami. Entri kali ini saya hendak kongsikan perkara-perkara tersebut. Entri kali ini boleh jadi panjang dan ia lebih bersifat travelog.

Dari Jumaat 2 minggu lepas sehingga Khamis lepas (19 Ogos-25 Ogos), saya pergi beruzlah sebentar ke Baling, Kedah. Cuba-cuba melakukan jaulah ilmiah seperti adat para ulama' terdahulu. Imam Bukhari, Imam Syafi'e dan lain-lain. Walaupun dahulu mereka menunggang unta namun tiada masalah mencuba. Dan bezanya saya berguru dengan makcik saya sendiri yang menjadi guru di sebuah sekolah di sekitar Baling, Kedah.

Perjalanan ke Baling memakan masa lebih kurang 5 jam. Bertolak 10.30 malam dari Jalan Duta dan tiba pada pukul 3.30 pagi. Turun bas sahaja, pakcik Sani sudah siap menyambut saya. Serba salah sedikit saya rasa.

Hari Jumaat di Kedah adalah seperti hari Ahad di KL. Mereka bercuti pada hari tersebut. Pagi itu saya bersama pakcik Sani dan makcik Kamaliah menziarahi kubur anak mereka dan juga sepupu saya, Nurul Jannah yang meninggal dunia tahun lepas di Langkawi ketika melakukan khidmat masyarakat di sana.

"Apabila mati seseorang anak Adam maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara : sedekah jariah, Ilmu yang dimanfa'atkan oleh orang dan anak soleh yang mendoakannya. " (Riwayat Muslim)

Semoga Allah menerima khidmat masyarakat yang beliau lakukan sebagai sedekah jariah dan memberikan kepadanya pahala yang tidak teputus serta merahmati roh beliau.

Baling, Bumi Syuhada'
Semenjak dari hari pertama di Baling, saya dapat merasakan perbezaan antara Baling dan Kuala Lumpur. Di sana cucanya mendung dan redup sahaja. Jarang-jarang sekali panas terik. Sangkaan saya mungkin kerana faktor luaran seperti geografi dan sebagainya, tetapi wallahu'alam mungkin kerana faktor yang terselit didalam lipatan sejarah Baling. Bisik saya, susah nak tentukan laylatul qadar di Baling jika macam ni setiap hari.

Abang saya yang mula-mula memberi hint, mungkin kerana Baling ini bumi syuhada', 18 orang yang tidak bersalah terkorban dek serbuan anggota khas polis dalam menjalankan 'Operasi Hapus'. Antara yang terkorban didalam operasi tersebut adalah seorang ustaz yang terkenal ketika itu, iaitu ustaz Ibrahim Mahmud ataupun lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Ibrahim Libya.

Ustaz Ibrahim Libya dituduh menyebarkan ajaran sesat lalu diambil tindakan untuk melakukan sebuah operasi untuk menghentikan kegiatan tersebut. Ada sumber mengatakan banyak berlaku kesilapan komunikasi antara anggota polis dan pegawai atas di ibu pejabat. Wallahu a'lam. Saya sertakan sekali link supaya anda yang rajin boleh bayangkan sendiri situasi ketika itu.

Dan akhirnya, mereka diisytiharkan sebagai syuhada' oleh mufti Kedah ketika itu dan Sultan turut mencemar duli menziarahi maqam mereka. Semoga Allah merahmati roh mereka dan menyenaraikan kita didalam senari syuhada'.

Boleh baca lebih mengenai peristiwa Memali di;
Sumber 1
Sumber 2

Baling adalah sebuah tempat yang menarik dan seronok.

Di sana saya menggunakan basikal sebagai kenderaan untuk ke mana-mana dan biasanya ke masjid kerana suasananya yang tenang dan sekaligus i'tikaf di sana. Oleh kerana cuaca yang biasanya redup dan berangin, saya tidak berpeluh sangat berbanding jika di sekolah atau di rumah. Saya biasanya pergi ke masjid Ridwaniah ataupun lebih dikenali dengan Masjid Baling untuk mengulangkaji dan lain-lain.

Dari situ sebuah kisah yang tidak kurang menariknya bermula,

Syeikh Hassan Mahmud, Syeikh Palestin dari Syria
Malam terakhir bersama Syeikh Hassan Mahmud.

Sejak hari pertama saya tiba di Baling, makcik Kamaliah sudah mula berkongsi cerita tentang kedatangan pelajar berketurunan Palestin ke Baling untuk menjadi imam. Saya menjadi teruja mendengar kehadirannya. Teringin juga berborak sebentar, mendapat syu'ur-syu'ur arab.

Saya pertama kali berjumpa dengan beliau pada hari Sabtu selepas solat Asar. Ramai orang bersalam dengannya dan berkenalan dengannya. Saya antara orang-orang itu. Petang itu beliau berbuka di rumah Pakcik Sani bersama saya dan serta pakcik Basri yang menjadi pengiring Syeikh tersebut.

Buka puasa bersama Syeikh Hassan di rumah pakcik Sani bersama pakcik Basri dan Muaz, anaknya.

Peluang bersama dengan Syeikh ini saya cuba gunakan untuk tingkatkan kemahiran dalam muhadasah (percakapan) memandangkan akan banyak memerlukan kemahiran tersbut pada masa akan datang. Syeikh Hassan adalah seorang yang peramah dan menghormati orang lain walaupun kadang-kadang orang sukar memahami apa yang dicakap. Di sini jelas "language barrier" menjadi satu masalah.
Namun, orang Islam berkongsi satu badan, masalah pertuturan bukanlah masalah yang besar.

Roadsinger rode on to another land
Though the people spoke a different tongue it understand
They showed him how to share and took him by the hand
Showed him the path to heaven through the desert sand

- Roadsinger, Yusuf Islam

Syeikh Hassan adalah pelajar perubatan di Syria, saya tak ingat institusi yang mana. Beliau bersama 10 orang kawannya dihantar ke Malaysia untuk berkhidmat sebagai tanda membalas budi baik rakyat Malaysia yang banyak memberi sumbangan terhadap Palestin. Mereka semua berketurunan Palestin dan mereka dibawa masuk ke Malaysia melalui Pertubuhan HALUAN. Mereka bertebaran ke negeri-negeri di Malaysia dan Syeikh Hassan telah diletakkan ke Kedah.

Keesokan paginya, Syeikh tersebut mengikut jadual akan mengadakan qiamullail di Masjid Baling, masjid yang biasa kami (saya berserta keluarga pakcik Sani) pergi. Saya dan pakcik Sani menghadiri qiam tersebut dan sahur bersama beiau selepas qiam.

Pakcik Basri yang menjadi pengiring beliau di Baling turut sahur bersama. Beliau menceritakan tentang program-program yang dirancang dan antaranya adalah tazkirah dari Syeikh. Oleh kerana ketika itu saya yang boleh faham-faham sedikit kata-kata Syeikh, saya diminta untuk menjadi penterjemah bagi siri tazkirahnya dan ketika itu siri yang pertama dan diadakan di Masjid Baling selepas solat subuh. Saya setuju sahaja kerana kata beliau kali ini sahaja dan tazkirah ini hanya sekitar 5-10 minit sahaja. Tambah beliau, selepas ini akan ada penterjemah lain.

Tazkirah pagi tersebut berkenaan Ramadhan dan al-Qur'an. Lega saya kerana beliau banyak menggunakan dalil-dalil yang masyhur dan jelas. Sesi itu alhamdulillah berjalan dengan lancar. Kemudian, rutin saya seperti biasa ke masjid dan ulangkaji.

Petang itu, pakcik Sani memberitahu hajat pakcik Basri untuk saya menjadi penterjemah bagi tazkirah Syeikh malam tersebut di Masjid Kupang, sekitar daerah Baling. Memandangkan ini tazkirah yang panjangnya lebih kurang 30-45 minit, saya pada mulanya menolak. Tapi selepas fikir beberapa kali, saya tunaikan hajat beliau. Pakcik Basri menjemput di Masjid Baling pada pukul 7.00 dan kami bertolak ke Masjid Kupang bersama dengan Syeikh tersebut.

Kami tiba di sana  tepat-tepat dengan masa untuk berbuka puasa dan kehadiran kami disambut oleh AJK masjid tersebut. Antara yang menyambut kami adalah seorang pakcik yang lahir di Saudi dan hidup disana. Beliau kini menetap di Malaysa dan sudah 10-11 tahun menetap di Malaysia dan umurnya dalam lingkungan 30-an. Saya meminta beliau untuk menjadi penterjemah, tapi beliau menolak kerana payah untuk menterjemah ke bahasa Melayu.

Terawih yang panjang dirasakan pendek kerana perasaan takut dan gementar untuk menjadi penterjemah dihadapan lebih kurang 200 orang ahli jemaah masjid. Sesi tazkirah bermula dan saya berharap agar Syeikh bercakap sekitar Ramadhan dan taujih ruhiyah sahaja. Beliau memulakan dengan menceritakan sedikit sebanyak mengenai Ramadhan dan al-Qur'an lebih kurang seperti pagi tadi dan ketika itu saya berasa sedikit lega tetapi beliau kemudiannya memasuki tajuk Palestin. Sejak itu saya sedikit kabut kerana kekurangan vocab dan lain-lain.

Tetapi alhamdulillah dapat saya ikuti sesi itu sehingga habis walaupun banyak point terpaksa ditinggalkan dek kerana tak dapat tangkap kata-katanya. Beliau bercakap dalam bahasa Arab fusha (bahasa baku). Selepas habis tazkirah kami moreh sebentar dan pakcik yang lahir di Saudi menyediakan home-made pizza yang beliau buat sendiri. Alhamdulillah sedap dan sempat yang berkenalan dengan dua orang anaknya, Syadi dan Syamil. Seorang darjah 3 dan seorang lagi darjah 1. Perasaan saya yang separa kecewa diubati dengan kehadiran dua anak yang ceria ini. Alhamdulillah.

Keesokan harinya, mengikut rutin saya ke masjid sehingga petang dan pulang ke rumah. Malam itu kami ke Masjid Charok Bemban kerana Syeikh Hassan menjadi imam di sana. Bacaannya yang merdu dilengkapi dengan  tajwid dan lahjahnya membuat kami tertarik ke sana. Sampai sahaja di sana, saya ternampak Syeikh Hassan di dewan solat utama dan sengaja saya memilih dewan solat bersebelahan dewan utama sebagai langkah berhati-hati tidak ditarik menjadi penterjemah walaupun saya sudah dimaklumkan ada penterjemah malam itu.

Saya dikejutkan dengan teguran Syadi dan Syamil yang turut bersama di sana malam itu. Gembira sebentar saya. Tetapi saya menjadi lebih terkejut bila bilal masjid tersebut berjumpa dengan saya dan meminta saya menjadi penterjemah untuk sesi tazkirah selepas solat terawih. Saya cuba menolak tetapi tak berjaya dan malam ini saya menjadi lebih gementar dari malam sebelumnya kerana kekurangan persediaan. Teringat saya kisah Nabi Musa, ketika mereka lari dari Firaun dan akhirnya Firaun dapat menjejaki mereka di laut Mati.

فَلَمَّا تَرَاءَى الْجَمْعَانِ قَالَ أَصْحَابُ مُوسَىٰ إِنَّا لَمُدْرَكُونَ
Setelah kedua-dua kumpulan itu nampak satu sama lain, berkatalah orang-orang Nabi Musa: Sesungguhnya kita akan dapat ditawan.
Kejutan yang Allah berikan kepada mereka menambahkan lagi keyakinan baginda kepada Allah. Jawab baginda;

قَالَ كَلَّا ۖ إِنَّ مَعِيَ رَبِّي سَيَهْدِينِ
Nabi Musa menjawab: Tidak! Jangan fikir (akan berlaku yang demikian)! Sesungguhnya aku sentias disertai oleh Tuhanku (dengan pemeliharaan dan pertolonganNya), Dia akan menunjuk jalan kepadaku. (asy-Syu'ara' 61-62)
Saya cuba bertekad sebegitu dan saya terima sahaja. Insya-Allah boleh.

Sesi malam itu lebih sukar berbanding sebelumnya kerana Syeikh dari awal terus membicarakan tentang isu Palestin. Saya yang kurang vocab banyak tertinggal point-point yang penting sehingga diperlinya dalam bahasa arab,

 انا آتكلمت كثير ولكنه يتكلم قليل (Saya dah cakap banyak tetapi dia cakap sedikit sahaja.)

Jemaah yang menghadiri semuanya tertawa kerana ditambah lagi dengan gayanya yang lucu. Semua senyum malu sahaja di depan. Apapun, alhamdulillah saya dapat ikut sesi tersebut sehingga habis.

Malam itu adalah kali terakhir saya menjadi penterjemah untuk Syeikh tersebut kerana mereka sudah jumpa penterjemah yang lebih bagus. Lega saya.

Esoknya, dua orang sepupu saya Nuruddin dan Maryam yang belajar di MATRI pulang dari sana memulakan percutian sempena Hari Raya. Maddin (Nuruddin) kini di tingkatan 2 dan Maryam di tingkatan 5, turut mengambil SPM tahun ini. Ada saingan. Gembira sedikit saya dapat jumpa sepupu yang jarang-jarang dapat berjumpa. Sudah besar mereka, bisik saya. Moga mereka membesar dalam celupan Allah.

صِبْغَةَ اللَّهِ ۖ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ صِبْغَةً ۖ وَنَحْنُ لَهُ عَابِدُونَ
Celupan Allah (yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam) dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat. (al-Baqarah : 138)

Malam itu kami ke Masjid Baling dan malam itu Syeikh Hassan menjadi imam di sana. Malam itu adalah malam terakhir beliau menjadi imam ke Kedah kerana beliau akan ke KL esoknya dan lusanya akan pulang ke Syria. Bacaannya yang merdu dan ditambah dengan qunut yang panjang dan merdu berjaya menarik jemaah yang lebih ramai malam itu.

Selepas terawih seperti biasa ada slot tazkirah dan kali ini penterjemahnya ialah Pengetua Maktab Mahmud.

Tazkirah terakhir di Masjid Baling. (Pengetua Maktab Mahmud, Ustaz Fauzi (kiri) dan Syeikh Hassan)

Tenang sahaja Ustaz tersebut memberi terjemahan dan saya turut mengkagumi diam-diam ekspresi mukanya yang tenang dan tegas. Sebagaimana yang terdapat di muka Sayyid Qutb, Hassan al-Banna dan beberapa tokoh yang lain. Malam itu berjalan dengan lancar dan kemudian saya turut bersama moreh dengan Syeikh dan malam itu kali terakhir saya berjumpa dengannya kerana saya tidak ikut rombongan yang menghantar beliau keesokan harinya.

Pulang ke KL

Esoknya, saya tidak ke masjid seperti biasa kerana sudah ada kawan di rumah yang boleh borak-borak sekali. Oleh kerana maddin sedikit sibuk jadi saya juga tak sibuk-sibuk nak mengacaunya. Petang itu saya berbuka puasa dengan pakcik Sani sekeluarga dan itu adalah yang terakhir kerana malam itu saya akan pulang ke KL pada pukul 10.30 malam, sama dengan waktu saya bertolak dari KL dahulu.

Kami berterawih di rumah dan kemudian pakcik Sani serta makcik Kamaliah menghantar saya ke stesen bas Baling. Jutaan terima kasih saya capkan kepada mereka sekeluarga kerana banyak mengajar saya samada dalam akademik dan kehidupan. Moga-moga ilmu yang diberikan diberkati dan diterima Allah dan dapat dikembangkan.

Bila saya belajar fizik, saya teringin untuk menjadi seperti seorang hamba Allah yang diberikan ilmu di dalam surah an-Naml dan Allah tidak menyebutkan namanya. Kisah itu adalah ketika ratu Balqis dalam perjalanan menuju ke tempat Nabi Sulaiman dan Nabi Sulaiman ingin memindahkan istana ratu tersebut ke tempatnya untuk menunjukkan kekuasaan kerajaan baginda.

قَالَ يَا أَيُّهَا الْمَلَأُ أَيُّكُمْ يَأْتِينِي بِعَرْشِهَا قَبْلَ أَن يَأْتُونِي مُسْلِمِينَ
Nabi Sulaiman berkata pula (kepada golongan bijak pandainya): Wahai pegawai-pegawaiku, siapakah di antara kamu yang dapat membawa kepadaku singgahsananya sebelum mereka datang mengadapku dalam keadaan berserah diri memeluk Islam? 
قَالَ عِفْرِيتٌ مِّنَ الْجِنِّ أَنَا آتِيكَ بِهِ قَبْلَ أَن تَقُومَ مِن مَّقَامِكَ ۖ وَإِنِّي عَلَيْهِ لَقَوِيٌّ أَمِينٌ
Berkatalah Ifrit dari golongan jin: Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah.
Jin Ifrit yang kuat mampu memindahkan istana tersebut dalam satu masa yang cukup singkat jika diikutkan logik akal. Memindahkan sebuah istana dalam waktu yang singkat sehingga dia dapat memberi jaminan "Sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu."

Sejurus selepas itu, jawab seorang pengikut Nabi Sulaiman yang lain,

قَالَ الَّذِي عِندَهُ عِلْمٌ مِّنَ الْكِتَابِ أَنَا آتِيكَ بِهِ قَبْلَ أَن يَرْتَدَّ إِلَيْكَ طَرْفُكَ ۚ فَلَمَّا رَآهُ مُسْتَقِرًّا عِندَهُ قَالَ هَٰذَا مِن فَضْلِ رَبِّي لِيَبْلُوَنِي أَأَشْكُرُ أَمْ أَكْفُرُ ۖ وَمَن شَكَرَ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِ ۖ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ رَبِّي غَنِيٌّ كَرِيمٌ
Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata! Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah dia: Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah. (Surah an-Naml : 37-39)

Beliau mempu memindahkan istana dalam masa yang lebih singkat, kurang dari satu saat. Sebelum sempat Nabi Sulaiman mengelipkan matanya. Apa kaitan ayat ini dengan fizik? Saya pernah diberitahu ada ulama' mentafsirkan ayat ini dengan mengatakan bahawa pemindahan istana oleh hamba Allah itu menggunakan teori supersonik dan menunjukkan bagaimana kemajuan ketika zaman kerajaan Nabi Sulaiman. Wallahu a'lam. Ilmu Allah itu luas, saya pernah berdoa untuk ditunjukkan bagaimana dipindahkan istana tersebut. Mungkin suatu hari nanti manusia akhirnya dapat mengkaji tentang teori ini dan dapat diaplikasikan. Moga umat Islamlah yang berjaya menjumpainya dahulu.

Saya tiba di stesen bas Jalan Duta lebih kurang pukul 3.30 pagi dan dijemput oleh ayah & mak saya. Kami kemudian berit'tikaf di Masjid Negara. Di sana diadadakan qiamulail dari pukul 4.00-5.00 pagi dan ia diimami oleh orang arab. Bacaannya mirip imam Masjidil Haram Maher al-Muaqly, entah-entah itu orangnya, wallahu a'lam.

Pagi itu, saya dikejutkan dengan berita abang saya Syamil akan melangsungkan akad nikah dan majlis perkahwinannya pada 15 September di Mesir. Jadi saya menjemput kepada para pembaca blog ini yang rajin-rajin hendak ke Mesir ataupun di Mesir bolehlah hadirkan diri ke majlis tersebut. Dan saya sudah pastilah tidak akan ke sana kerana dihimpit SPM dan kos penerbangan. Saya kirimkan doa sahaja kepada mereka. Barakallahu lakuma wa baraka alaikuma wa jam'a bainakuma fi khair.



Butir-butir majlis di sini.

Semoga Allah memberkati dan mengangkat umur mereka dan memberkati kehidupan mereka dan memberikan mereka nikmat hidup di bawah naungan al-Qur'an. Kita juga.

Termasuk beliau pada 15 September nanti, hanya tinggal saya seorang sahaja yang masih belum terikat dengan apa-apa. Jangan risau, ini bukan cetusan hati untuk mengikuti jejak langkah atau apa-apa, hanya kenyataan. Setakat ini biarkan saya berpegang dengan kehidupan yang dilalui oleh Sayyid Qutb, Badi'uzzamn Sa'id Nursi, Imam Nawawi dan para ulama' lain yang tidak berkahwin sehingga ke akhir hayat. Menyibukkan diri dengan agenda membangun ummat. Sehingga Allah menzahirkan qadar yang sepatutnya pada waktu yang sepatutnya.

Jangan gelakkan saya, nanti saya akan menyusul juga ;)

Dan akhir sekali, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin. Semoga amal kita di dalam bulan Ramadhan diterima Allah dan al-Qur'an yang kita baca menjadi pemberi syafa'at kepada kita di akhirat nanti. Wallahu a'lam.

Wassalam.

No comments: