Sunday, August 22, 2010

Kisah Ketua Penyamun

Pirates of The Caribbean

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Apa khabar? Saya alhamdulillah baik-baik saja, dan moga anda yang membaca juga begitu. Ramadhan kali ini memberikan peluang yang banyak untuk terus mengemaskini bog yang biasanya 'gap' masa antara entri adalah panjang.

Saya suka menulis cerita. Baru-baru ini beberapa rumah di kawasan saya dimasuki pencuri. Fikir saya, kesian para pencuri, penyamun (pengepow juga!). Adakah masa depan yang cerah bagi mereka? Percutian sebentar di Johor Bahru tempohari tanpa dirancang telah menjawab persoalan saya. Ikuti kisah ketua penyamun ini.

**********

Malam itu tenang, pasir-pasir berterbangan ditiup angin sepoi-sepoi bahasa, unta-unta yang keletihan bermusafir mengangkat barang, mengangkat orang sedang tenang berehat. Melihat keadaan tenang seperti ini, ketua sebuah qafilah yang melalui kawasan itu memanggil;

"Kita jalan terus?"
"Kita jalan terus sampai pagi, karena biasanya Fudhail menghadang kita di jalan ini"

Mereka tidak sedar di sebalik runtuhan bangunan yang berdekatan dengan mereka, Fudhail, ketua penyamun yang mereka maksudkan itu sedang mendengar perbualan mereka.

Namun, Fudhail tidak melakukan sebarang tindakan dek peristiwa 'luarbiasa' yang terjadi kepadanya baru sahaja tadi.

Ketika itu Fudhail sedang memanjat tembok, ingin melaksanakan hasratnya kepada seorang perempuan yang membuatkan hatinya tertarik. Tiba-tiba dengan susunan Allah yang sangat cantik, ditakdirkan beliau mendengar suara orang membaca ayat al-Qur'an, sangat terkena pada dirinya;

أَلَمْ يَأْنِ لِلَّذِيْنَ آمَنُوا أَنْ تَخْشَعَ قُلُوْبُهُمْ لِذِكْرِ اللهِ وَماَ نَزَلَ مِنَ الْحَقِّ وَلاَ يَكُوْنُوا كَالَّذِيْنَ أُوْتُوا الْكِتاَبَ مِنْ قَبْلُ فَطاَلَ عَلَيْهِمُ اْلأَمَدُ فَقَسَتْ قُلُوْبُهُمْ وَكَثِيْرٌ مِنْهُمْ فاَسِقُوْنَ

Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik - derhaka. (QS al-Hadid : 16)

Mendengar ayat itu, ketua penyamun itu menjawab "Tentu saja wahai Rabbku. Sungguh telah tiba saatku (untuk bertaubat)." Beliau membatalkan hasratnya terhadap perempuan itu dan berlindung sebentar disebalik sebuah runtuhan bangunan.

Mendengar perbualan antara ahli qafilah tersebut, beliau menjawab kepada diri sendiri;
"Aku menjalani kemaksiatan-kemaksiatan di malam hari dan sebagian dari kaum muslimin di situ ketakutan kepadaku, dan tidaklah Allah menggiringku kepada mereka ini melainkan agar aku berhenti (dari kemaksiatan ini). Ya Allah, sungguh aku telah bertaubat kepada-Mu dan aku jadikan taubatku itu dengan tinggal di Baitul Haram.”

Setelah itu nama Fudhayl bin Iyadh bukanlah lagi dikenali sebagai seorang Ketua Penyamun yang masyhur tetapi beliau sehingga sekarang sebagai seorang ulama' yang berkedudukan tinggi. Perkara ini diakui oleh seorang pemimpin ilmuan hadis dan sahabatnya sendiri iaitu Abdullah bin Mubarak. Antara pengakuan beliau terhadap Fudhayl ialah;

"Manusia yang paling warak ialah Fudhayl bin Iyadh."
"Menurut pandanganku, Fudhayl ialah orang yang paling mulia di muka bumi ini."
"Apabila aku memandang Fudhayl, kesedihanku timbul kembali lantas aku membenci diriku"

Selanjutnya anda sendiri boleh buat kajian yang lebih terperinci tentang ulama' mu'tabar ini. Tentang bekas ketua penyamun ini.

**********

Kisah ini saya rasa sangat menarik kerana siapa pernah menyangka bahawa seorang ketua penyamun boleh menjadi seorang ulama' yang wara' dan mulia. Dapat kita lihat, seseorang itu Allah muliakan dengan Islam.

Berkesinambungan dengan Ramadhan, ada orang yang memanggil Ramadhan ini sebagai Bulan Perubahan dan Ramadhan ini sebagai titik tolak untuk seseorang itu berubah. Tetapi 'ala kulli hal semuanya bergantung kepada manusia itu sendiri.

Kita berdoa kepada Allah agar kita diberikan perasan takut Fudhayl apabila beliau mendengar ayat yang menusuk kalbunya ketika itu dan agar kita mampu memegang hidayah yang Allah hadiahkan sehingga akhir hayat sebagaimana Fudhayl memegang hidayah itu sehingga nafas terakhir beliau.

Wassalam.

********

P/S : musafir memang memberi banyak manfaat.

2 comments:

mz said...

ni taip sendiri atau copy paste..?
minta respon cepat.

eh, fudhail,cam kenal je kelas ni...

hikmatyar said...

taip sendiri. tapi takdela reka cerita.